Melihat pada tajuk filem ini sudah
pasti ada mengandaikan filem ini berkaitan dengan perbuatan melatah.
Semula jadinya, manusia yang melatah mampu membuatkan orang di sekitarnya
tergelak apatah lagi perkataan ‘Oh Mak Kau!’ adalah ayat paling popular di
kalangan orang yang melatah. Itulah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh
pengarah muda ini, Nurul Ain Nordin menerusi filem sulungnya ini, ‘Oh Mak Kau!’
(O.M.K)
Bekas pelajar lulusan Diploma Seni
Layar dari UiTM ini bijak membuat percaturan dengan menggunakan tajuk filem
yang berbaur komedi dan menggabungkan pelawak-pelawak muda dan berusia.
Walaupun filem ini bukanlah berpaksikan pada perbuatan melatah namun isi
tersiratnya menyatakan filem ini mempunyai pengisian tersendiri.
Mahu lari dari
stereotaip filem komedi biasa, Ain yang hanya berusia 23 tahun semasa
mengarahkan filem ini menyuntikkan elemen aksi bagi membangkitkan lagi selera
penonton.
Filem yang diterbitkan oleh Star Scope
Production Sdn Bhd ini bukan saja menampilkan Ain sebagai pengarah malahan Ain
juga merupakan penerbit bersama dan turut membintangi filem ini. Dengan kos
sebanyak 1.7 juta dan mengambil masa penggambaran selama 23 hari di sekitar
Rawang, Gombak dan Kuala Lumpur, Ain bergelut membahagikan dirinya kepada tiga
peranan penting namun usahanya berbaloi dengan meletakkan Jep dan Shuib Sepahtu
sebagai teraju utama yang umumnya mengetahui kekuatan mereka dalam melontarkan
komedi kepada penonton.
Tidak henti di situ, Ain cuba
memanupulasikan karektor Abon yang tampil serius menerusi filem ini. Begitu
juga dengan penampilan Didie Alias dan Syamsul Yusof yang dilihat mampu mencuri
perhatian penonton.
Filem yang berkisarkan dua beradik,
Sam dan Mun dengan trademark mereka,
‘kemas balik selepas mencuri’ sering mencetuskan kemarahan ibu mereka.
Segalanya berubah dengan kedatangan Que, seorang wanita yang berjaya mencuri
hati mereka berdua. Namun Que sebenarnya mempunyai misi tersendiri yang
akhirnya menjebakkan kesemua karektor-karektor di dalam filem ini.
Walaupun terselit elemen aksi dalam
komedi, filem ini masih bersifat santai yang mana tidak membebankan pemikiran
penonton yang sememangnya inginkan hiburan dan mesej ringkas dari sesebuah
filem komedi itu. Cetusan idea filem ini juga telah menarik minat Naza World
Sdn Bhd untuk menaja penggunaan motor-motor dalam filem ini selain sebuah motor
untuk peraduan yang dianjurkan oleh pihak produksi filem ini.
Bakal menemui penonton pada 16 Mei
ini, filem O.M.K turut menampilkan Wan Maimunah, Yassin Elias, Faiz Raja Lawak,
Yank Kassim dan muka baru seperti Aida AF dan Kay AF serta ramai lagi.
Filem : Oh Mak Kau (OMK)
Tarikh Tayangan : 16 Mei 2013
Pengarah : Nurul Ain Nordin
Syarikat Penerbit : Star Scope Production
Penulis Skrip : Nurul Ain Nordin
Salwa Surol
Genre : Aksi Komedi
Durasi : 90 minit ( 1 jam 30 minit)
Klasifikasi : P13
enjoy!


No comments:
Post a Comment