Wednesday, July 04, 2012

Apa itu "Nisfu Sya'aban"? by shahroll


Malam ini adalah malam ke 15 Syaaban atau dikenali sebagai malam nisfu Syaaban. Di kalangan masyarakat Islam, ramai yang menganggap malam tersebut merupakan satu malam yang sangat besar fadhilatnya. 

Mereka mengkhususkan malam tersebut dengan ibadah seperti solat beberapa rakaat, baca surah Ya Sin dan lain-lain dengan kepercayaan sesiapa yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan diampuni segala dosa.

Nisfu Syaaban bermaksud pertengahan Syaaban iaitu 15 Syaaban yang mana buku amalan kita untuk satu tahun diangkat ke langit pada 14 Syaaban(sebelum mahgrib 15 Syaaban) dan digantikan dengan buku amalan yang baru (waktu maghrib 15 Syaaban) untuk sepanjang tahun yang berikutnya.

Dari Usamah b. Zaid ra. berkata, “Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain seperti mana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa”-Riwayat An-Nasaie-

Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) “Kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13,14 dan 15 haribulan), 2 rakaat Dhuha dan solat witir sebelum aku tidur”. –Riwayat Al-Bukhari-

Dari Abu Hurairah ra. sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada Aku, untuk Aku memperkenankan doanya? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya? Mana orang yang memohon keampunan-Ku, untuk Aku mengampuninya?”-Riwayat Al-Bukhari-